Cart 0

Cara Menggunakan Botol Spray Wuduk

Botol Spray Wuduk

Ramai yang dah tahu apa itu botol spray wuduk. Tapi ada juga yang tidak tahu. 

Mengikut pengalaman kami di BinNurdin, ada juga pelanggan yang bertanya kenapa botol spray wuduk ini kosong? Mana air wuduknya? Maaf tuan, puan, botol spray wuduk memang kosong kerana air wuduk itu tidak perlu dibeli. Tuan puan hanya boleh mendapatkan secara percuma dari air paip di rumah tuan puan semua. Gurau senda hari ini, jangan marah ya   

Mari kami ceritakan mengenai botol spray wuduk.   

Untuk pengetahuan semua, botol spray wuduk adalah sebuah botol spray yang dicipta khas untuk para jemaah untuk mengambil wuduk ketika dimana keadaan berikut berlaku:

  1. Tempat mengambil wuduk jauh. Terutamanya apabila berada dalam Masjidil Haram atau masjid Nabawi.
  2. Tempat mengambil wuduk tidak ada.
  3. Di dalam kenderaan ketika perjalanan.
  4. Individu yang tidak berupaya untuk bangun untuk pergi ke tempat mengambil wuduk.
  5. Individu yang terlantar sakit dan langsung tidak boleh bangun.

Sebelum kami bercerita lebih lanjut. Kami tunjukkan dulu rupa botol spray wuduk ini.

Saiz botol wuduk ada pelbagai, ada 150ml, 180ml, 200ml dan 250ml. Semua botol ini tidak ada beza dari segi kegunaan cuma kuantiti air yang diisi sahaja berbeza.

botol wuduk

Bagaimana cara untuk menggunakan botol spray wuduk ini?

Sekarang kita bincangkan pula cara-cara yang betul untuk mengambil wuduk dengan bantuan botol spray wuduk. 

  • Isikan botol wuduk tersebut dengan air mutlak. Anda boleh isikan dengan air paip atau air zam-zam yang boleh didapati di dalam Masjidil Haram atau Masjidil Nabawi.
  • Cari tempat duduk yang sesuai. Untuk jemaah wanita, anda disarankan berada di tempat yang agak terlindung bagi menjaga aurat.
  • Kami juga menyarankan supaya jemaah membawa sehelai tuala kecil dan dibentangkan di atas lantai. Ini bagi mengelakkan karpet dan lantai masjid basah sewaktu anda mengambil wuduk.
  • Hanya melakukan wuduk pada anggota yang wajib sahaja. Dan tidak perlu diulangi sebanyak 3 kali. 1 kali sahaja memadai.
  • Mulakan wuduk anda:
    1. Baca bismillah
    2. Semburkan air pada kedua belah tapak tangan. Ratakan.
    3. Baca niat mengambil wuduk. Sembur air pada muka, tunggu sehingga air mengalir dan kemudian ratakan air pada seluruh muka.
    4. Sembur air pada tangan kanan sehingga ke siku. Tunggu sehingga air mengalir dan kemudian ratakan air pada tangan sehingga ke siku, selati jari jemari.
    5. Ulangi pula pada tangan kiri dengan cara sama seperti langkah 4.
    6. Sembur air pada kepala, tunggu air mengalir dan ratakan.
    7. Sembur air pada kaki kanan, tunggu sehingga air mengalir dan kemudian ratakan air pada kaki sehingga pergelangan kaki. Selati jari jemari
    8. Ulangi pula kaki kiri dengan cara yang sama seperti langkah 7.
  • Kenapa perlu tunggu air mengalir? Ini kerana, antara syarat sah air wuduk mengikut Mazhab Syafie adalah dari air yang mengalir
  • Juga perlu diingatkan, ketika anda meratakan air, jangan mengangkat tangan sehingga seluruh air diratakan ke anggota wuduk. Kenapa? Ini kerana jika anda mengangkat tangan sebelum habis meratakan air, air pada tapak tangan akan bertukar status kepada air Mustaqmal. Dan tidak sah untuk digunakan untuk berwuduk.

Untuk lebih jelas, kami sertakan video tutorial oleh Petugas Haji Ustaz Syed Shahridzan 

Kredit @Siakap Keli TV


Selamat mencuba!   



Older post Newer post