Cart 0

Miqat 101 (Bahasa Melayu)

Apakah itu Miqat?

Maksud sebenar Miqat adalah ketetapan masa dan tempat untuk memulakan ibadah manasik. Ini telah ditentukan oleh Allah sebagaimana firmanNya:

"(Masa untuk mengerjakan ibadah) haji itu ialah beberapa bulan yang dimaklumi" [Al-Baqarah 2:197]

Miqat adalah sempadan atau batas yang merupakan penentu tanda atau penanda aras yang menyentuh persoalan masa dan lokasi bermulanya ibadah manasik umrah dan haji. Miqat amat penting diketahui kerana ianya menentukan permulaan masa dan tempat untuk memulakan niat ihram.

Sudah sampai di Miqat. Apa yang perlu dilakukan?

Sebelum sampai di Miqat, para jemaah disarankan untuk membersihkan serta mensucikan diri. Jemaah perlulah membersihkan tubuh badan, mandi sunat ihram, merapikan rambut, janggut dan berwangi-wangiran bagi jemaah lelaki. Kemudian mempersiapkanlah diri dengan pakaian ihram untuk lelaki dan pakaian menutup aurat untuk wanita.

Apabila tiba di Miqat, para jemaah boleh melakukan solat sunat ihram bagi yang mampu. Dan kemudian berniat ihram dan seterusnya memperbanyakkan talbiah.

Di mana sebenarnya tempat Miqat?

Miqat di bahagikan kepada dua iaitu:

1. Miqat Zamani (masa)

Miqat zamani untuk umrah adalah sepanjang tahun. Manakala miqat zamani untuk ibadah haji pula ialah dalam bulan-bulan haji iaitu daripada 1 Syawal hingga 10 Zulhijjah mengikut kalander Hijrah.

2. Miqat Makani (tempat)

Miqat makani adalah berdasarkan dari arah mana jemaah haji atau umrah itu datang dan masuk ke Tanah Haram Mekah.

Yalamlam

Ini adalah miqat bagi penduduk Yaman, India dan negeri sebelah timur termasuk Malaysia dan Indonesia yang datang melalui kapal laut. Yalamlam ialah nama sebuah bukit di tepi Laut Merah dan jaraknya dengan Mekah ialah 89 kilometer.

Bir Ali - Abyar Ali - Dzulhulaifah

Ini adalah miqat bagi penduduk dari Madinah dan sekitarnya serta jemaah yang bermukim di sana. Jaraknya dengan Mekah adalah lebih kurang 450 kilometer manakala dengan Madinah pula ialah 10 kilometer.

Al- Juhfah

Ini pula ialah miqat bagi penduduk dari Syam, Mesir, Maghribi, Sepanyol dan negara-negara dari arahnya. Jaraknya dengan Mekah adalah lebih kurang 187 kilometer.

Qarnul Manazil

Miqat bagi penduduk dari Kuwat, Najd dan Jemaah dari Nusantara yang datang dengan kapal terbang. Jarak jauhnya dengan Mekah ialah 94 kilometer. Jemaah Malaysia yang datang dengan kapal terbang dan ingin terus masuk ke Mekah akan bermiqat di sini. Kebiasaannya, kapten penerbangan akan membuat pengumuman bila waktunya untuk berniat ihram ketika melalui miqat ini. 

Dzatul 'Irq

Miqat bagi penduduk Iraq, jaraknya dengan Mekah adalah 94 kilometer.

Apa yang berlaku jika tidak berniat ihram ketika di Miqat?

Bagi seseorang yang masuk ke Mekah dengan ihram tetapi tidak berniat maka perbuatannya itu akan dikenakan dam tertib dan taqdir iaitu dengan menyembelih seekor kambing. Jika tidak mampu, hendaklah berpuasa 10 hari. Yakni 3 hari di Mekah dan 7 hari apabila pulang ke negara masing-masing. Perbuatan tidak berniat di miqat dengan sengaja adalah berdosa dan wajib melakukan taubat.


Sumber rujukan: 

Ustaz Mohd Hasnil Abu Bakar (2018) Nota Haji & Umrah- Syurga untuk mereka yang taat. Galeri Ilmu Sdn Bhd



Newer post